Perancangan yang fleksible dan teliti sebelum bercuti adalah sangat penting. Ia seharusnya dapat membantu mengawal bajet percutian anda agar kewangan terancang dengan baik. Semua orang dari pelbagai lapisan dan taraf eknonomi boleh bercuti di Kelantan. Apa yang penting anda seharusnya dapat membuat perancangan yang baik, kerana perancangan yang baik itulah dapat menjadikan percutian anda sangat menyeronokkan disamping aktiviti-aktiviti yang dapat dibuat kenang-kenangan. Dalam artikel kali ini, kami mengupas kaedah perancangan anda sebelum bercuti, khususnya di Kelantan.
Bajet
Inilah antara perkara pertama dan paling utama yang mesti anda rancang sebelum bercuti di Kelantan. Bajet tahunan untuk bercuti seharusnya ada dalam setiap keluarga. Dalam bajet untuk bercuti, anda hendaklah mengambil kira bajet asas membabitkan pengangkutan, tol, petrol, penginapan dan makanan. Perlu bijak memilih penginapan sama ada hotel atau homestay. Pemilihan hotel yang bersesuaian dengan harga juga perlu dilakukan. Bagi yang bercuti dengan jumlah keluarga yang ramai kami cadangkan anda memilih homestay kerana lebih menjimatkan. Selain itu, pilihan pengangkutan juga memainkan peranan. Jika datang dengan pengangkutan awam seperti keretapi atau bas, perlu pula merancang jika ingin menyewa kereta di Kelantan.
Anggaran kasar untuk perbelanjaan asas bercuti di Kelantan dengan menaiki kenderaan sendiri selama 3 hari 2 malam bagi 5 orang ahli keluarga yang tinggal di Johor:
- Petrol : RM300 (Pergi balik)
- Tol : RM42.20 (Pergi balik)
- Penginapan : RM200 (2 Malam)
- Makan : RM150
- Shopping : RM400
Jumlah keseluruhan: RM1092
Contoh di atas mengambil kira keluarga yang bercuti paling jauh dari Kelantan iaitu dari Negeri Johor dengan 2 orang dewasa dan 3 orang kanak-kanak. Jika lokasi anda lebih dekat, lebih murahlah perbelanjaan untuk bercuti. Contoh ini hanyalah anggaran kasar sahaja.
Membeli-belah
Shopping adalah agenda wajib dan menyeronokkan jika datang ke Kelantan. Kenapa? Semestinya kerana terdapat pelbagai pilihan barangan dengan harga yang amat berpatutan dan menjimatkan. Bagi mencapai kepuasan yang optimum ketika membeli belah di sini, anda hendaklah terlebih dahulu mengenalpasti apakah barangan yang ingin dibeli samada pakaian, mainan kanak-kanak, cenderamata atau juga makanan. Membeli-belah di Kelantan secara purata tidak memerlukan anda memakai kad kredit. Shopping menggunakan wang tunai adalah lebih baik. Tidak perlu risau kerana semua kemudahan ATM ada di setiap kawasan.
Selalunya ramai pengunjung yang datang akan shopping sakan disini tanpa mengira barang itu patut dibeli atau tidak. Jangan begitu, ianya hanya menggalakkan pembaziran kerana bukan semua barangan yang patut anda beli disini. Secara sedar atau tidak, anda mungkin terasa semua benda nak beli kerana merasakan harganya murah berbanding tempat lain. Awas! kerana itu akan menyebabkan duit anda melayang tanpa anda sedari. Pastikan anda membeli barangan yang sangat bernilai dan murah sahaja selain tidak didapati ditempat lain. Antara barangan popular yang selalu dibeli dan patut anda beli adalah seperti beras siam, toto, serunding daging, keropok, tudung bawal, kain batik, jersi bola sepak, jeans dan lain-lain lagi. Anda boleh membaca panduan yang telah disediakan di laman web ini untuk shopping di tempat membeli-belah yang popular seperti Wakaf Che Yeh, Pasar Siti Khadijah, Rantau Panjang dan lain-lain lagi.
Aktiviti
Aktiviti yang biasa dilakukan jika bercuti adalah berkunjung ke tempat-tempat bersejarah dan menarik. Pastikan anak anda dapat merasainya juga. Selain itu, tempat peranginan seperti pantai dan air terjun juga menjadi agenda wajib jika datang ke sini. Pastikan pakaian yang dibawa bersesuaian dengan tempat tersebut. Contohnya jika ingin ke air terjun dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan duit melayang membeli pakaian di tempat tersebut. Dan yang paling utama sudah tentulah aktiviti membeli belah selain ‘jalan-jalan cari makan’.
Jalan-jalan cari makan
Jalan-jalan cari makan adalah aktiviti paling menyeronokkan bagi kebanyakan pengunjung. Di Kelantan ini, sangat banyak tempat makan dan restoran yang sedap serta popular. Pelbagai jenis masakan dan menu boleh dipilih. Namun begitu, anda dinasihatkan berhati-hati ketika memilih restoran atau kedai makan. Kerana banyak juga kedai yang cekik darah serta layanan yang diberikan sangat mendukacitakan. Di samping itu, waktu untuk singgah menjamu selera perlu juga diambil kira. Jika datang waktu puncak dan terlalu ramai orang, anda mungkin terpaksa menunggu dan bersesak yang boleh membuatkan mood untuk makan bagi sesetengah orang hilang begitu sahaja. Untuk itu, buatlah perancangan awal-awal restoran mana yang akan disinggah dan makanan apa yang hendak dicuba selain dari waktu yang sesuai untuk menjamu selera.
Masa sesuai untuk bercuti di Kelantan
Masa yang sesuai untuk bercuti dan berkunjung ke Kelantan adalah pada cuti sekolah bulan Mac, Jun, serta pada cuti hari raya Cina. Bulan Disember tidak digalakkan datang kerana musim tengkujuh, kawasan Rantau Panjang biasanya akan ditengelami air dan banyak kedai akan tutup. Jika ingin datang juga, pastikan anda memperoleh maklumat dari jabatan kajicuaca atau bilik gerakan banjir. Biasanya cuaca tidak menentu pada pertengahan dan hujung bulan 12. Waktu yang paling padat dan sesak teruk adalah pada cuti hari raya puasa, raya haji, cuti hari raya cina dan pada waktu hujung minggu pada musim cuti sekolah. Pada waktu inilah biasanya keadaan jalanraya di Kelantan sesak. Jumlah pelancong yang ramai ditambah lagi penduduk Kelantan keluar untuk makan angin dan shopping, bertambahlah sesak keadaan jalan.
Rancanglah percutian anda di Kelantan dengan baik.
Sumber : CutiKelantan.Com
0 ulasan:
Catat Ulasan